Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


KIRA-KIRA 75,000 penduduk di Simpang Renggam, Ayer Hitam, Kulai dan Pontian terjejas bekalan air berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam akibat pencemaran ammonia di Sungai Benut sejak Sabtu lalu.

Keadaan itu berlaku disebabkan ban tanah di kolam air larutan resapan (lecet) Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam pecah kerana tidak dapat menampung takungan air akibat hujan lebat, sehari sebelum kejadian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, akibat kejadian itu aliran air lecet mengalir ke Sungai Benut sehingga berlaku pencemaran ammonia yang teruk dan memaksa SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) menutup bekalan air.

Katanya, penutupan LRA Simpang Renggam berikutan pencemaran ammonia yang semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dan percaya ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melepaskan bahan berkenaan ke dalam sungai itu.

“Untuk itu, saya menggesa penutupan pusat pelupusan sampah ini dilakukan segera supaya keadaan ini tidak berterusan dan berkemungkinan menyebabkan keadaan lebih buruk pada masa akan datang.

“Selain itu, beberapa punca lain seperti ternakan ayam di hulu sungai turut dikenal pasti sebagai punca sampingan berlakunya pencemaran ini,” katanya kepada media selepas melawat LRA Simpang Renggam di Kampung Kolam Air, Simpang Renggam, hari ini.

Maszlee (lima dari Kiri) melihat keadaan Sungai Benut ketika melawat LRA Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, tindakan tegas perlu diambil semua agensi berkaitan supaya kejadian ini tidak berulang sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk kawasan berkenaan.

“Kerjasama semua agensi di peringkat kerajaan negeri dan pusat sudah dilaksanakan bagi membawa cadangan kecemasan khas untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Pada masa sama, Maszlee menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran Sungai Benut dan Sungai Machap selepas beliau menghadap sembah baginda, pagi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan mengambil sampel sungai itu, semalam, untuk mengenal pasti punca pencemaran.

Menurutnya, sampel akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 25 akta sama, selain mengeluarkan empat kompaun dengan setiap satu kompaun berjumlah RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 6:38 PM