GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


NIAT baik seorang lelaki menegur si abang yang berkasar dengan ibu mereka bertukar sebaliknya apabila dipukul lelaki terbabit menggunakan batang lampu dalam kejadian di Kampung Raja, di Jertih, semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun dan bekerja sebagai jurukimpal cedera di pergelangan tangan kiri selepas diserang suspek berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika mangsa berada di rumah sebelum suspek tiba-tiba mengamuk dan bertengkar dengan ibu mereka berusia 48 tahun.

Beliau berkata, mangsa yang melihat kejadian itu menegur sikap suspek menyebabkan lelaki terbabit naik hantu dan memukul mangsa menggunakan batang lampu.

“Sejurus kejadian itu, suspek beredar meninggalkan rumah dan mangsa yang bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat suspek yang dipercayai penagih dadah selalu menimbulkan kekecohan termasuk membuang barang-barang di rumah mereka sebelum ini.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 6:10 PM