WANITA warga asing yang ditahan. FOTO Erika George
Erika George

HARGA antara RM150 hingga maksimum RM270 adalah kadar bayaran mendapatkan khidmat persundalan selama satu jam.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu tumpas selepas operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komunit (JPKK), susulan penangkapan empat wanita berusia 28 hingga 49 tahun di dua lokasi berbeza di Bintulu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, tawaran khidmat seks wanita warga asing berkenaan lumpuh selepas pihak berkuasa menyerbu rumah urut dan rumah tumpangan di Jalan Tun Hussien Onn, Bintulu.

“Dengan mengenakan bayaran dari RM150 ke RM 270 sejam, aktiviti persundalan di kedua-dua premis itu terbongkar menerusi hasil maklumat orang ramai diikuti risikan oleh pihak polis.

“Menerusi operasi selama sejam bermula jam 10 malam itu, polis menahan tiga wanita di rumah urut, manakala tiga lagi wanita ditahan di rumah tumpangan. Kesemua mereka adalah warga asing,” katanya, hari ini.

Katanya, turut ditahan wanita tempatan berumur 57 tahun dipercayai penjaga rumah urut.

“Hasil serbuan ke atas rumah urut itu, polis merampas empat kondom, resit, pasport dan wang tunai berjumlah RM420 dipecayai hasil dari kegiatan persundalan,” katanya.

Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun, atau denda, atau kedua duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39b Peraturan- Peraturan Imigresen 1963, atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial yang mana jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 1:52 PM