ORANG ramai meleraikan pergaduhan antara pemandu bas dan pemandu lori (dalam bulatan). FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PEMANDU bas cedera di dahi akibat terjatuh ketika bergaduh dengan pemandu lori berhampiran sebuah bank di Jalan Sulaiman di Kajang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pemandu bas berusia 54 tahun berhubung kejadian itu.

“Kejadian pergaduhan itu berpunca apabila pemandu bas berkenaan tidak dapat bergerak di laluannya kerana dikatakan terhalang oleh sebuah lori.

“Pemandu bas itu membunyikan hon untuk menarik perhatian pemandu lori yang menghalang jalannya. Ketika pemandu lori sampai ke kenderaannya, pemandu bas terus membunyikan hon menyebabkan lelaki itu marah dan menghentak cermin hadapan bas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pemandu bas kemudian membuka pintu dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Ketika pergelutan itu, pemandu bas terbabit terjatuh dan mengalami luka di dahi. Pemandu bas itu kemudian memegang leher lelaki berkenaan, namun kejadian terbabit dileraikan orang awam yang berada di lokasi.

“Berdasarkan laporan diterima, kami melakukan siasatan awal dan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu sudah berdamai dan mengakui kejadian berlaku akibat salah faham.

“Mereka menyelesaikan perkara itu secara aman tanpa ada sebarang campur tangan pihak ketiga mahupun membabitkan siasatan pihak polis,” katanya.

Katanya, pemandu bas terbabit sudah menarik balik laporan dibuat atas kerelaan sendiri dan tanpa paksaan mana-mana pihak dan mahu menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Tiada kertas siasatan dibuka berhubung kejadian ini memandangkan perkara itu sudah diselesaikan di antara kedua-dua pihak,” katanya.

Kejadian itu turut dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum ia tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:08 PM