TIGA lelaki diiringi anggota polis ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan membuang sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini. FOTO dan video Hairul Anuar Ab Rahim
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


POLIS mengesan seorang usahawan warganegara Singapura berusia 30-an bagi membantu siasatan kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis Singapura bagi menjejaki lelaki berkenaan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai pemilik satu daripada kilang yang terbabit dalam kes pembuangan sisa kimia ke sungai berkenaan hingga menyebabkan ribuan penduduk menghadapi masalah kesihatan manakala semua sekolah di daerah berkenaan terpaksa ditutup.

“Kami sedang memburu lelaki berkenaan dan masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes pembuangan sisa kimia itu.

“Difahamkan, tiga lelaki didakwa di mahkamah hari ini termasuk seorang warga Singapura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khalil berkata, tiga individu yang didakwa di mahkamah hari ini, antara 11 suspek termasuk pengusaha kilang serta individu yang menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, tujuh lagi suspek yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan.

“Ia menunjukkan ada perkembangan dalam kes ini dan polis berharap netizen memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Sekiranya tiada bukti, polis tidak boleh melakukan penahanan termasuk dalam kes Sungai Kim Kim ini.

“Namun, ada netizen yang melemparkan tuduhan terhadap polis yang dikatakan tunjuk wayang sedangkan kami bertungkus-lumus menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 4:39 PM