GADIS kostum anime serta tiga lelaki warga asing yang menyalahguna pas lawatan sosial serta permit kerja ditahan Jabatan Imigresen
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


LAPAN gadis kostum anime serta tiga lelaki warga asing yang menyertai Festival Anime di hotel di ibu negara ditahan dalam Ops Bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, semalam.

Kesemuanya ditahan berikutan menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja yang diperoleh.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, dalam operasi itu, JIM memeriksa seramai 52 individu yang menyertai festival diadakan di Jalan Putra.

Katanya, festival berkenaan juga didapati dianjurkan tanpa mendapat kebenaran daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Operasi berkenaan dijalankan sekitar 2 petang, semalam selepas kita mendapat maklumat mengenai penganjuran festival itu yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

“Dalam serbuan itu, 52 individu yang menyertai festival berkenaan diperiksa dan berjaya menahan 11 warga asing serta seorang lelaki tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamidi berkata, 11 warga asing yang ditahan itu membabitkan lima warga Jepun, Singapura (3 orang), Thailand (2 orang) dan Hong Kong (1 orang).

“Siasatan dijalankan mendapati mereka (warga asing) yang ditahan itu sudah masuk ke negara ini sejak beberapa hari lalu menggunakan pas lawatan sosial.

“Namun, ada antara merek turut menyalahgunakan permit kerja diberikan dengan menyertai festival itu,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 4:08 PM