Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@nstp.com.my


KEBAKARAN hutan di Kampung Lubok Piasau, Limbang, sudah memusnahkan 8.09 hektar dengan api mula merebak masuk ke kawasan sempadan Brunei.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, hari ini kerja pemadaman api sudah masuk hari ketiga selepas bomba menerima laporan kejadian pada 3.58 petang, Jumaat lalu.

“Sejumlah 15 anggota bomba masih bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan bagi mengelak musibah itu berlanjutan terutama ketika cuaca ketika ini adalah kering.

“Pihak bomba memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana dibimbangi kesannya merebak ke kawasan lebih luas,” katanya di Kuching, hari ini.

Katanya, Unit Udara Bomba menggerakan sebuah helikopter bagi melaksanakan kerja pemadaman dari udara menggunakan air.

“Kita berharap api dapat dikawal dengan keselamatan angota bertugas di lapangan adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Ling Hii ketika mengulas lanjut, berkata, pihak bomba dari Brunei juga sedang berusaha memadamkan api kawasan sempadannya.

“Operasi ketika ini diketuai, Pegawai Bomba, Jack Julang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 3:19 PM
KEBAKARAN hutan di Kampung Lubok Piasau, Limbang, sudah memusnahkan 8.09 hektar dengan api mula merebak masuk ke kawasan sempadan Brunei. FOTO ihsan Bomba