GAMBAR hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam sungai di Kampung Long Boh menghala ke Jalan Tambun Tulang, Arau, kelmarin.

Mangsa, Abdul Wahab Osman, 51, berasal dari Pida 4 Lama, Arau maut di tempat kejadian berikutan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihak mendapat panggilan kecemasan oleh orang awam pada 6.55 petang.

“Dalam kejadian pada 6.40 petang, mangsa yang juga peniaga dipercayai sedang mencari barangan terpakai telah terbabit dalam kemalangan jalan raya seorang diri.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa terbabas selepas hilang kawalan dan tercampak ke dalam sungai ketika hujan renyai-renyai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nanda berkata, mangsa dipercayai terhantuk di tebing sebelum tercampak ke dalam sungai.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk tindakan selanjutnya dan warisnya juga sudah dihubungi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:54 AM