MANGSA maut selepas parah di kepala dan badan. FOTO ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sungai di Kampung Long Boh menghala ke Jalan Tambun Tulang, Arau, hari ini.

Mangsa, Abdul Wahab Osman, 51, berasal dari Pida 4 Lama, Arau maut di tempat kejadian berikutan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa yang juga peniaga dipercayai sedang mencari barangan terpakai sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihak menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 petang.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati motosikal mangsa terbabas selepas hilang kawalan dan tercampak ke dalam sungai ketika hujan renyai," katanya ketika dihubungi.

Nanda berkata, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dipercayai terhantuk di tebing sebelum tercampak ke dalam sungai.

“Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk tindakan selanjutnya dan warisnya juga sudah dihubungi," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 11:42 PM