ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan polis
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 19 tahun maut manakala seorang wanita cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Selangor, Shah Alam, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Pei Chin Ming yang memandu Perodua Myvi maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan berlaku di Persiaran Selangor dari arah Bulatan Kemajuan ke Bulatan Selangor.

Menurutnya, pemandu Perodua Bezza yang parah dikenali sebagai Farah Amirah Sarifuddin, 24, dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam (HSAS) untuk rawatan.

"Hasil siasatan awal, mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah sama.

"Punca kemalangan masih tidak dapat dipastikan. Namun, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabit rosak teruk," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Justeru, polis meminta kerjasama orang awam atau saksi yang melihat kejadian tampil membantu di balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 0194475767," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 10:31 PM