Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS sudah merakam percakapan 10 saksi bagi membantu siasatan kekecohan antara mahasiswa dan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah perhentian bas di hadapan restoran di Pantai Baharu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga menerima 12 laporan polis yang dibuat berhubung insiden berkenaan.

“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden tolak-menolak berkenaan. Kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.45 petang apabila seramai tujuh penuntut membuat protes senyap ketika program bekas Perdana Menteri dijalankan.

“Penuntut berkenaan memegang poster dan berlaku provokasi yang mengakibatkan salah faham dan rasa tidak puas hati penyokong Datuk Seri Najib Razak sehingga menyebabkan insiden tolak-menolak dan tarik-menarik poster yang dipegang oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, sebaik menerima maklumat insiden berkenaan, polis hadir dan berjaya mengawal keadaan serta menyelamatkan mahasiswa dengan membawa mereka keluar dari tempat kekecohan berlaku untuk mengelak daripada berlakunya insiden yang lebih buruk.

“Semua mahasiswa berkenaan dibawa ke Balai Polis Pantai dan sudah dirakam percakapan sebagai saksi dan diberi peluang membuat laporan polis.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan diingatkan untuk mematuhi undang-undang yang ada. Segala apa bentuk perhimpunan hendaklah mengikut syarat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Asisten Superintendan Mohd Firdaus Sharil (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 012-3388164, Inspektor Aaron Anthony Doss (Pegawai Penyiasat) di talian 014- 9018596, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Berita berkaitan

Program Najib bertukar kecoh'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 10:08 PM