ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di an Baling-Gerik. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PEMANDU maut selepas van yang membawa sembilan pelajar Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan terbabit kemalangan di Jalan Baling-Gerik, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Ramli Mat Daud, 54, yang beralamat di Bachok, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat parah di badan.

Difahamkan, sembilan penumpang mengalami kecederaan termasuk dua daripadanya parah dan mengalami kecederaan tulang belakang serta patah kaki.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 5.34 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, van berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kelantan dan terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dua penumpang masing-masing mengalami kecederaan tulang belakang dan patah kaki manakala tujuh yang lain cedera dan dihantar ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat sebelum operasi ditamatkan jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 9:15 PM