Polis menemui 400 bungkus dadah syabu yang disorokkan di dalam sebuah van
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 400 kilogram dadah syabu bernilai RM26.4 juta dalam serbuan di Jalan Dusun Raja off Jalan Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryll Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dijalankan dengan kerjasama pasukan khas lain dari Bukit Aman.

“Lelaki berusia 56 tahun itu dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran.

“Pemeriksaan menemui 400 bungkus dadah syabu yang disorokkan di dalam sebuah van,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Acryll Sani berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran negara jiran dan cuba untuk diseludup keluar dari negara ini.

“Polis merampas van, wang tunai berjumlah RM273, dua telefon bimbit dan serangkai kunci.

“Siasatan mendapati dadah berkenaan mampu menampung kegunaan lebih 800,000 penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan tujuh hari sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

“Sindiket yang sama juga dikesan turut menyeludup beras dan rokok dari negara jiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 7:56 PM