Siasatan awal polis mendapati pemuda yang berasal dari Taman Kenanga, Melaka, dipercayai terjun daripada jejambat setinggi kira-kira 13 meter.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


SEORANG pemuda maut selepas dipercayai bertindak terjun dari atas jejambat di Persimpangan MITC, berhampiran Kota Fesyen, Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.

Mayat pemuda berusia 22 tahun itu ditemui orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian kira-kira jam 6.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.50 pagi memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki memakai baju kemeja-T berwarna merah dan berseluar pendek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemuda yang berasal dari Taman Kenanga, Melaka, dipercayai terjun daripada jejambat setinggi kira-kira 13 meter.

“Sebuah kereta model Toyota Altis dipercayai dinaiki lelaki itu turut ditemui di lokasi kejadian.

“Polis menemui kunci kereta, manakala selipar mangsa dijumpai di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afzanizar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tangan kanan serta leher dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun punca mangsa bertindak sedemikian masih dalam siasatan,” katanya.

Jejambat baharu di persimpangan MITC yang sebahagian daripada projek menaik taraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka bernilai RM286 juta itu sebelum ini dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, pada 4 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 7:31 PM