SHAMSIAH ditemui di Lubok Antu kira-kira 300 meter dari Sibu. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
news@nstp.com.my


WANITA yang dilaporkan hilang selepas menaiki bas ekspres dari Kuching ke Sibu, Rabu lalu, ditemui selamat hari ini.

Bagaimanapun, punca kehilangannya terus menjadi tanda tanya apabila Shamsiah Nor, 55, enggan memberitahu sesiapa apa yang berlaku sepanjang tempoh ‘kehilangannya’.

Lebih menghairankan keluarganya, wanita itu ditemui berdekatan Lubok Antu yang jaraknya kira-kira 300 kilometer dari Sibu, destinasi yang ditujunya Rabu lalu.

Anak saudaranya, Sahrin Sahri, 46, berkata, Shamsiah ditemui pada jam 1 petang tadi kira-kira dua kilometer dari Lubok Antu.

Dia berkata, ketika ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), Shamsiah dalam keadaan lemah dan kelaparan manakala kesan calar turut ditemui di pergelangan kakinya.

“Syukurlah, ibu saudara saya sudah ditemui dan terima kasih kepada pasukan SAR terutamanya polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam yang bertungkus-lumus mencarinya sejak semalam,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Difahamkan, wanita itu ditemui orang awam di sebuah pondok di tepi jalan sebelum dimaklumkan kepada pasukan SAR.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita itu pada jam 10.13 pagi semalam.

Menurutnya, kali terakhir wanita itu dilihat orang awam ketika dia berjalan dari Sedarat, Engkelili menghala ke Skrang, Sri Aman, kira-kira jam 9 pagi, Rabu lalu.

“Ada juga maklumat mengatakan dia dilihat masuk ke hutan berhampiran Rumah Panjang Memaloi di Skrang dan terus hilang,” katanya.

Katanya, wanita itu yang masih lemah kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Engkelili.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 6:58 PM