mesej tular di media sosialmendakwa seorang lelaki dibelasah sekumpulan individu dari Lombok, Indonesia di kilang Hulu Selangor.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menafikan kejadian seorang lelaki warga tempatan dibelasah warga asing di sebuah kilang di Serendah, Hulu Selangor seperti tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu.

“Pemeriksaan dilakukan di kilang itu mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku di lokasi berkenaan.

“Malah, pihak kilang juga menafikan kejadian itu berlaku di kawasan premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, terdapat mesej tular di media sosial yang mendakwa seorang lelaki dibelasah sekumpulan individu dari Lombok, Indonesia di kilang berkenaan.

Gambar lelaki terbabit yang diikat pada tiang dalam keadaan lemah dan berlumuran juga turut tular.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 6:18 PM