OSLULLAH menunjukkan kad UNHCR palsu dibelinya pada harga RM180. FOTO oleh Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


PULANGAN lumayan dengan menjadi orang tengah sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menyebabkan ada warga Myanmar dikesan sanggup ‘menghisap darah’ rakyat senegara untuk mendapat keuntungan mudah.

Dengan menjual sekeping kad pada harga serendah RM150 sekeping, warga Myanmar terbabit mampu hidup mewah hanya dengan mengaut keuntungan atas angin.

Ini terbukti apabila seorang lelaki Myanmar mengaku memiliki kad berkenaan dengan bantuan rakan yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Saya bayar RM180 kepada rakan yang berjanji untuk membantu saya mendapatkan kad ini.

“Saya mendapatkan kad ini kira-kira satu minggu lalu. Tidak tahu kad ini palsu kerana diperoleh daripada rakan di Kuala Lumpur,” kata Oslullah Shoifullah, 24.

Kad UNHCR palsu berkenaan dikesan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu ketika melakukan pemeriksaan Ops Bersepadu (Sapu) di kawasan sekitar Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kuala Terengganu, semalam.

Ketika ditanya, lelaki terbabit yang mendakwa bekerja di sektor pembinaan dan boleh berbahasa Melayu berkata, dia tidak menyangka rakannya sanggup menipu dengan memberinya kad palsu.

“Dia tahu saya tidak memiliki kad UNHCR dan menawarkan diri untuk mendapatkan kad ini dengan bayaran RM180.

“Tanpa banyak soal saya beri dia duit sebanyak RM180 akhir Januari lalu dan kad itu diberikan seminggu kemudian,” katanya.

Lelaki terbabit adalah antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam pemeriksaan Ops Bersepadu (Sapu) di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam.

Seramai 111 warga asing diperiksa dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu.

Lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:40 PM