Antara mahasiswa hadir menikmati jamuan pada Majlis Perasmian ‘Foodbank’ Siswa di UiTM Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh. FOTO Danial Saad.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


PROGRAM Food Bank Malaysia atau mudah dikenali sebagai gerobok rezeki mampu memberi manfaat kepada penuntut daripada keluarga B40.

Sementara itu pelaksanaan Food Bank Siswa juga akan mengatasi masalah mahasiswa terpaksa ‘ikat perut’.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program Food Bank membolehkan mahasiswa terpaksa ikat perut mendapatkan bekalan makanan lengkap bermula sarapan pagi hingga makan malam.

“Isu mahasiswa ikat perut mendapat perhatian Kabinet dan sudah dibawa bagi tujuan perbincangan di peringkat menteri.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan 20 timbalan naib canselor dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua universiti awam bagi mendapat input yang diperlukan termasuk maklumat mengenai golongan penuntut yang terpaksa berlapar,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika melancarkan program Food Bank Siswa peringkat Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Permatang Pauh, hari ini.

Menurutnya, selepas berbincang dengan pentadbiran universiti dan pihak industri tampil sebagai penyumbang program Food Bank Siswa mula digerakkan dan hari ini, UiTM Pulau Pinang menjadi lokasi pertama pelancarannya.

“Seramai 800 penuntut UiTM Pulau Pinang dan 200 penuntut di Politeknik Seberang Perai (PSP) akan mendapat faedah daripada program ini,” katanya.

Katanya, lebih membanggakan ialah kerjasama daripada pihak pengusaha restoran makanan terutama daripada Persatuan Pengusaha Restoran Islam (PPRIM) yang bersetuju untuk menjadi penaja utama program Food Bank Siswa di negeri ini.

Saifuddin berkata, Food Bank Siswa di negeri ini ditempatkan di UiTM dan kesemua barangan sumbangan atau lebihan makanan yang masih boleh digunakan akan ditempatkan di sebuah bilik di kawasan tumpuan pelajar seperti sebuah ‘pantry’.

“Ia akan dikawal selia sukarelawan Food Bank iaitu dalam kalangan penuntut sendiri. Setakat ini maklum balas diterima amat baik,” katanya.

Jelasnya program sama turut dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Pihaknya tidak dapat menganggarkan berapa ramai penuntut yang akan mendapat faedah daripada program ini kerana senarai nama mereka yang dikategorikan layak hanya dikeluarkan universiti masing-masing.

Menurutnya, bagi program Food Malaysia, sehingga Februari lalu sejumlah 45,850 isi rumah mendapat faedah daripada program itu dan berjaya menyelamatkan 1,055 metrik tan lebihan makanan.

“Program ini bukan dilaksanakan secara ‘ad hoc’ namun ia akan dijalankan berterusan bagi memberi manfaat kepada yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:02 PM