ORANG ramai beratur untuk membayar saman tertunggak. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KAUNTER Trafik Bukit Aman diserbu orang ramai yang sanggup beratur dalam barisan sepanjang kira-kira 500 meter untuk membayar saman tertunggak di Karnival Sambutan Hari Polis ke-212 di Padang Kawad Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di lokasi terbabit mendapati orang ramai mula berkunjung ke tapak karnival berkenaan seawal 7 pagi tadi walaupun kaunter pembayaran dibuka pada 8 pagi.

Seorang daripada pengunjung, Mahzir Idris, 62, berkata, dia datang ke karnival itu kira-kira 9 pagi semata-mata untuk membayar tiga saman tertunggak di kaunter berkenaan.

“Saya dimaklumkan mengenai tawaran diskaun saman sebanyak 50 peratus di tapak karnival ini melalui mesej di aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh jiran.

“Sebaik tiba, saya melihat barisan panjang menuju ke kaunter trafik yang boleh dilihat dari kawasan tempat letak kereta. Difahamkan orang ramai mula membanjiri lokasi ini seawal 7 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, hari ini.

Mahzir yang juga seorang pesara kerajaan memaklumkan dia sudah menunggu hampir satu jam, namun barisan itu tidak bergerak.

“Kaunter yang dibuka tidak begitu banyak menyebabkan barisan terlalu panjang. Bagi warga emas seperti kami sepatutnya ada kaunter khas supaya tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Siti Fatimah Hashim, 34, datang bersama suami kira-kira 10 pagi tadi bagi membayar saman tertunggak termasuk untuk anak saudaranya yang memiliki waran tangkap.

“Ada rakan saya yang bekerja sebagai anggota polis memaklumkan mengenai tawaran diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus di karnival ini menyebabkan kami sanggup datang dari Sunway untuk menjelaskan beberapa saman.

“Namun, saya terkejut apabila mendapati barisan panjang menuju ke kaunter berkenaan. Saya difahamkan hanya ada tiga kaunter pembayaran dan tiga kaunter semakan dibuka menyebabkan berlaku kesesakan ketika pembayaran,” katanya.

Dia berharap lebih banyak kaunter dibuka esok bagi membolehkan urusan pembayaran dilakukan dengan lebih cepat sekali gus mengelakkan kesesakan.

Selain kaunter pembayaran saman yang dibuka cawangan Trafik Bukit Aman, terdapat aktiviti dan pameran diadakan di tapak karnival berkenaan yang bermula sejak semalam hingga 25 Mac nanti.

Antara program diadakan adalah forum perdana, pertandingan memasak dan kehadiran ramai selebriti tempatan pada setiap acara.

Selain itu, beberapa agensi kerajaan turut mengadakan pameran dan aktiviti termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:59 PM