Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


IDENTITI penumpang bas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 228.3 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Bukit Berapit, Taiping, semalam dikenal pasti sebagai Jaroen Muangkhot, 60.

Dalam kemalangan 6.45 petang itu, mayat wanita warga emas terbabit berjaya keluarkan pada 10.40 malam selepas dihempap bas persiaran yang terbalik ke dalam gaung.

Usaha mengangkat bas itu dilakukan menggunakan dua kren.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati bas dipandu seorang lelaki membawa 20 penumpang dari Hatyai, Thailand menuju ke Singapura.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan bergesel dengan sebuah Proton Iswara sebelum ia hilang kawalan hingga terbabas ke bahu jalan dan terbalik dalam gaung.

“Akibatnya Jaroen maut di lokasi kejadian, manakala lima penumpang lain cedera. Pemandu Proton Iswara iaitu wanita 40 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk dibedah siasat, manakala semua mangsa cedera terima rawatan di hospital sama,” katanya, hari ini.

Osman berkata, pihaknya menahan pemandu wanita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya terpaksa menggunakan dua kren untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah bas.

“Kren digunakan untuk mengangkat bas sebelum, mayat dapat dikeluarkan. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan untuk pastikan tiada lagi mangsa dan operasi ditamatkan pada 11.57 malam,” katanya.

Berita berkaitan

Bas terbabas masuk gaung

[UPDATE] Wanita warga Thailand maut dihempap bas terbalik [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 9:26 AM