MAHATHIR memeriksa barisan kawalan kehormatan angkatan tentera Pakistan pada acara sambutan rasmi sempena lawatan kerjanya di Islamabad.
BERNAMA

Istanbul: Malaysia dan negara Islam lain perlu berusaha supaya setanding dengan negara maju.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia berpendapat ada ruang untuk memperluaskan kerjasama dengan atau antara negara Islam lain.

“Hari ini tidak ada satupun negara Islam yang dianggap sebagai negara maju. Sebenarnya, Malaysia mempunyai perancangan menjadi negara maju menjelang 2020, tetapi malangnya perubahan dalam kerajaan (pemimpin) menjadikannya tidak mungkin dapat dicapai.

“Bagaimanapun, kami masih berhasrat menjadi negara maju menjelang 2025. Kami berharap ini bukan hanya kepada Malaysia saja,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, di sini, semalam.

Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan bermula Khamis.

Dr Mahathir berkata, negara Islam seperti Malaysia dan Pakistan perlu mencari cara menangani Islamofobia.

“Pakistan dan Malaysia memahami isu ini. Kami dapati kini terdapat kebimbangan dan anti terhadap orang Islam dan itu sebabnya kenapa 50 orang Islam terbunuh (dalam insiden tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand minggu lalu),” katanya.

Beliau berkata, insiden itu yang turut membabitkan warga Pakistan dan Malaysia di kawasan itu sebagai mangsa, berlaku kerana perasaan kebencian dihasilkan media dan orang tertentu.

“Kita perlu belajar bagaimana mengatasi masalah ini. Ia tidak semestinya dengan melawan kita boleh menang. Pengalaman Malaysia ialah mengenai memenangi hati dan minda rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan boleh bekerjasama dalam hal itu supaya ada peningkatan yang lebih baik terhadap persepsi orang Islam di dunia.

“Kita (Malaysia dan Pakistan) sentiasa berbincang mengenai keganasan. Ada cara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan kebimbangan, kemarahan dan kebencian terhadap orang Islam,” katanya.

Terdahulu, Pakistan memberi sambutan rasmi kepada Dr Mahathir di Prime Minister’s House dan beliau disambut Imran ketika tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan mesyuarat empat mata, diikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Pakistan.

Pada sebelah petangnya, Dr Mahathir dikurniakan anugerah Nishan-e-Pakistan atau Order of Pakistan, anugerah awam tertinggi negara itu yang disampaikan Presiden Pakistan Dr Arif Alvi.

Lawatan Dr Mahathir ialah atas jemputan Imran untuk menghadiri sambutan Hari Pakistan yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 7:00 AM