Antara kenderaan yang dirampas polis dari Geng Sealan Vanette. FOTO Hasbi Sidek
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


GENG Sealan Vanette yang giat melakukan kegiatan curi kenderaan dengan mensasarkan van peniaga pasar malam tumpas dalam satu operasi di sekitar daerah Sentul 18 Mac lalu.

Geng yang dianggotai tiga rakyat tempatan dan dua warga asing itu hanya mencuri van yang mempunyai muatan barang dan peralatan untuk berniaga di pasar malam manakala van dilupuskan dengan menjualnya di kedai besi buruk haram.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya berjaya menemui sembilan van dan sebuah lori dengan nilai dianggarkan RM150,000.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sentul menjalankan risikan dan operasi berkaitan kes curi kenderaan di kawasan daerah Sentul.

“Kami menahan lima lelaki berusia dari 36 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes kecurian kenderaan di daerah ini sebelum soal siasat membawa kepada penemuan sembilan van Nissan Vanette dan sebuah lori Nissan satu tan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Beliau berkata, dengan penemuan van berkenaan, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan membabitkan empat laporan di Selayang, dua laporan di Gombak serta masing-masing satu laporan di Sri Damansara, Genting, Jinjang dan Setapak.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan tidak tinggi memandangkan suspek mencuri van lama, namun kenderaan berkenaan mempunyai muatan barang perniagaan milik peniaga pasar malam.

“Mereka hanya mensasarkan van peniaga pasar malam yang mempunyai barang dan peralatan untuk menjual. Barang ini mereka jual manakala van pula dilupuskan dengan menjualnya kepada pengutip besi buruk haram milik warga asing.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas tangkapan, didapati semua adalah negatif. Namun, semua suspek mempunyai rekod jenayah dalam kes dadah dan curi.

“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 10:33 PM