NURAGHNIA BALQISH (gambar kecil) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh di bawah lori di Kampung Batu Tiga, Sungai Yu, Kuala Selangor, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


PELAJAR perempuan Tingkatan Dua maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum digilis lori di Kampung Batu Tiga, Sungai Yu, Kuala Selangor, hari ini.

Dalam kejadian 3.05 petang, Nuraghnia Balqish Norafzanizam, 14, meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala manakala pemandu lori berusia 57 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC cuba memotong lori berada di hadapannya.

“Ketika cuba memotong, mangsa gagal mengawal motosikalnya akibat jalan berpasir sebelum terbabas dan terjatuh di bawah lori.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan saksi bebas yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Menurutnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 6:42 PM