Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tengah) melancarkan Kempen Kampus Bebas Rokok di Pusat Kebudayaan UIAM. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


SEORANG bapa kepada lima anak menyesal kerana membazirkan wang berjumlah RM126,000 selama 30 tahun untuk membeli rokok sebelum tekad berhenti merokok.

Abdul Rahim Ahmad, 45, berkata dia mula merokok pada usia 15 tahun dan purata sebulan memperuntukkan RM350 bagi tujuan itu.

“Sehari saya akan menghisap sekotak rokok. Selama ini saya anggap wang dibelanjakan untuk rokok itu satu keperluan sebagai seorang lelaki, kini baru saya sedar dan menyesal ia satu pembaziran.

“Saya sayangkan diri dan keluarga, mereka menjadi penguat semangat saya untuk nekad berhenti merokok,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Bebas Merokok di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, semalam.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Kakitangan unit keselamatan UIAM itu antara 30 peserta yang menyertai program kempen berhenti merokok secara sukarela dengan dibantu Pusat Kesihatan dan Kecerdasan UIAM.

Sementara itu Dzulkifli berkata, kempen berkenaan sebagai satu inisiatif UIAM menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani masalah merokok di kawasan awam.

“Seperti sedia maklum universiti adalah kawasan larangan merokok, kami sangat komited dan serius menjadikan semua kampus kami bebas rokok.

“Kempen juga disertakan dengan tindakan berbentuk advokasi dan pendidikan kepada warga kampus mengenai bahana merokok ini.

“Menerusi kempen ini juga, warga kampus termasuk perokok sendiri berpeluang menyertai ceramah kesan dan keburukan merokok. Mereka juga boleh mendapatkan tips dan bantuan kaunseling di Klinik Berhenti Merokok,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) turut menyerahkan sumbangan zakat korporat sebanyak RM101,416.73 kepada Tabung Wakaf UIAM untuk disalurkan kepada 39 penuntut asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:54 PM