MEKANIK sambilan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PERBUATAN keji mekanik sambilan yang tergamak melakukan sumbang mahram terhadap adik perempuan kandungnya mengundang padah apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Agmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang juga anak kedua daripada lima beradik didakwa dengan sengaja melakukan sumbang mahram ke atas adik bongsu perempuannya berusia 14 tahun.

Perbuatan itu dilakukan pada bulan Mac, Mei, Ogos 2017 dan Julai 2018 di rumah di Sabak Bernam.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana dia bersama mangsa tinggal serumah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan menetapkan 29 Mac ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.

Difahamkan, mangsa kini dirawat di hospital di Klang dan akan ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di Rembau, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:37 PM