JAAFAR dan Suryati berkongsi pengalaman kenderaan dipandu isteri terhumban ke Sungai Terengganu ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Surau Haji Daud.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


SELEPAS 41 hari tragedi Pulau Warisan yang meragut nyawa seorang daripada enam penyelamat, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, peristiwa hitam itu bukan hanya meninggalkan kenangan buat keluarga Wira Darul Iman, malah kekal dalam ingatan mereka yang terselamat dalam insiden itu.

Bagi keluarga Jaafar Jusoh, 61, peristiwa yang hampir meragut nyawa isteri, anak dan cucunya itu menjadi sejarah tersendiri dalam keluarganya.

“Saya hampir kehilangan mereka, tetapi Allah memanjangkan umur mereka dan menggantikannya dengan arwah Abdul Bari yang boleh saya katakan seorang hamba Allah yang sangat mulia dan bersih hati kerana sanggup mengorbankan nyawanya membantu keluarga saya daripada lemas.

“Saya boleh katakan isteri, Suryati Rusly, 37, dua anak, Nordiana Alwani, 33 dan Syafawani, 11, cucu, Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, serta adik ipar, Asmaa Rusly, 23, hidup di atas nyawa Abdul Bari.

“Terima kasih Allah, terima kasih arwah dan lima lagi wira yang membantu arwah menyelamatkan keluarga saya,” katanya di rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini, kelmarin.

Menurut Jaafar, kejadian yang berlaku di depan matanya menyebabkan dia pengsan tiga kali sehingga terpaksa dibawa ambulans ke hospital untuk rawatan.

“Selepas saya tahu mereka semua selamat, saya bersyukur, namun tidak mampu menyembunyikan rasa sedih apabila dimaklumkan arwah hilang dan dipercayai lemas.

“Arwah pernah bekerja dengan saya sebelum ini dan dia baik hati serta suka menolong orang.

“Sikapnya yang suka menolong orang itu dapat dilihat apabila dia membantu keluarga saya. Walaupun sedar risiko yang bakal dilaluinya, tetapi arwah tanpa berfikir panjang terjun ke sungai tanpa memikirkan keselamatan dirinya,” katanya.

Sementara itu, Suryati yang mengakui masih trauma berkata, kejadian itu masih menghantuinya.

Dia yang memandu pacuan empat roda Mitsubishi Storm ketika kejadian mengakui setiap kali melalui laluan Pulau Warisan, perasaannya berdebar dan terbayang kejadian yang menimpa mereka.

“Saya lalu di kawasan itu hanya kerana urusan kerja, tetapi kalau untuk saja-saja lalu di situ memang tidak sebab saya seboleh-bolehnya tidak mahu melihat kawasan itu kerana ia boleh menganggu fikiran saya,” katanya.

“Selepas kejadian itu, saya tidak boleh memandu kerana takut selain rasa gementar setiap kali memegang stereng namun Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini perasaan itu hilang sedikit demi sedikit,” katanya.

Bagi Nordiana Alwani, pengorbanan arwah tidak ternilai untuk dibalas dan hanya doa yang mampu dihadiahkan sebagai membalas jasa arwah.

“Dia (arwah) memberi nyawanya kepada anak saya, sukar untuk saya bayangkan keseksaannya ketika menjunjung anak saya daripada tenggelam sedangkan ketika itu seluruh badannya berada di dalam air.

“Selepas anak saya disambut penyelamat lain, dia terus tenggelam,” katanya sebak.

Dalam kejadian 8 Februari lalu, Mitsubishi Storm dipandu Suryati terhumban ke sungai dalam keadaan mengundur menyebabkan mereka berlima hampir lemas sebelum diselamatkan arwah Abdul Bari dan lima lagi penyelamat lain, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, dan Omar Abdul Aziz, 27.

Mayat Abdul Bari ditemui di kawasan kuala sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.23 pagi dua hari kemudian pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:00 AM