FOTO Hiasan
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


BUKAN wanita saja menjadi mangsa keganasan rumah tangga sebaliknya 56 lelaki turut direkodkan mengalami nasib malang di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan lelaki malang terbabit menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu adalah 5.4 peratus daripada 1,037 keseluruhan kes.

“Kes paling tinggi dilaporkan adalah 484 kes iaitu mencederakan mangsa secara fizikal, 401 kes sengaja membuatkan mangsa dalam keadaan ketakutan.

“Sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta 30 kes melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang mahu mengetahui jumlah kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada JKM bagi tempoh 2017 hingga kini dan jenis keganasan yang dilaporkan serta langkah membendung gejala itu.

Yeoh berkata, kementerian sudah memperbaiki pindaan berkenaan Akta Keganasan Rumah Tangga.

Katanya, pihaknya juga meningkatkan lagi usaha melindungi mangsa dengan cara memberi perintah perlindungan sementara, memindahkan mangsa supaya tinggal berasingan atau kembali ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:03 PM