Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


LELAKI warga emas rugi RM560,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Macau Scam’.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, mangsa yang juga pesara pegawai pemasaran berusia 71 tahun memaklumkan menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Suspek kemudian memaklumkan mangsa mempunyai beberapa bungkusan daripada syarikat penghantaran dan akaun mangsa terbabit dengan kegiatan jenayah pengubahan wang haram.

“Mangsa yang panik seterusnya disambungkan ke beberapa talian kepada pegawai polis.

“Mangsa ditawarkan bantuan dan juga diarah untuk memindahkan semua wang simpanannya ke akaun pegawai Bank Negara untuk tujuan audit dan siasatan.

“Suspek turut memberi jaminan wang mangsa akan dikembalikan sebaik siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Risikin berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun ketika cuba mengeluarkan wang berjumlah RM250,000 melalui kaunter di sebuah bank di Kuala Lumpur hari ini.

“Tangkapan itu dibuat selepas hasil risikan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai mengeluarkan sejumlah wang yang banyak.

“Kami merampas satu buku akaun bank serta resit transaksi pengeluaran wang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima 18 kes membabitkan kes penipuan Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM802,000 sejak Januari lalu hingga hari ini.

“Tahun lalu 82 kes diterima membabitkan kerugian hampir

RM6 juta.

“Jangan panik dan tidak mengikut arahan diberikan sebaliknya hubungi polis atau institusi kewangan yang dinyatakan bagi tujuan pengesahan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan nombor akaun atau kad kredit kepada pihak luar.

“Layari portal rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk maklumat serta nasihat terkini kes penipuan kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:37 PM