Yeo Bee Yin (tengah) menunjukkan alat pengesan gas di udara di Pasir Gudang Sabtu lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PENEMUAN tong biru di Sungai Selangkah dan Sungai Masai, Pasir Gudang mengundang pencemaran namun ia tidak menghasilkan gas beracun sekali gus menjadi punca pencemaran seperti di Sungai Kim Kim.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pemeriksaan sudah dijalankan dan alat pengesan gas tidak menunjukkan kehadiran gas beracun di kawasan itu.

“Sumber lain yang ditemui itu, bukanlah sumber atau punca keracunan beramai-ramai ini.

“Ya memang ada tong biru, tetapi bila periksa, tiada kehadiran gas beracun.

“Bila berlaku pencemaran, memang kita akan bersihkan. Gas beracun boleh dikesan menggunakan alat pengesan dan kita boleh tahu kehadiran gas ini serta-merta tetapi sampel bahan kimia itu kita tetap ambil dan hantar untuk analisa Jabatan Kimia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pembentangan Laporan Jawatankuasa Saintifik Pencemaran Sungai Kim Kim di Kota Iskandar hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata, kandungan bahan tercemar di Sungai Masai adalah berbeza dengan Sungai Kim Kim.

“Saya ingin jelaskan kerana ramai bertanya mengenai aktiviti dilakukan di Masai yang turut tular di media sosial.

“Mereka tanya, kenapa kita kata sudah selamat tetapi ada lagi aktiviti pembuangan bahan kimia.

“Ingin saya jelaskan, kandungan bahan tercemar itu adalah berbeza dengan yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim. Ia tiada kaitan. Di Masai itu, ia menjurus kepada hidro karbon yang biasa daripada minyak,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan tong biru dipercayai terkandung sisa toksik di Sungai Masai, Pasir Gudang.

Dianggarkan lebih 20 petugas bertungkus-lumus membersihkan kawasan terbabit dengan berpakaian keselamatan peribadi (PPE) di lokasi bersebelahan Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru selepas penemuan itu.

Berita berkaitan

Misteri tong biru [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:53 PM