LELAKI (tengah) yang didakwa mencederakan isteri dan mengugut ibu mentua dengan pisau. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI yang menampar isterinya hingga berdarah di stesen minyak dekat Batu Rakit, Kuala Nerus ditahan reman empat hari sehingga Jumaat.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu Noradila Ab Latiff, hari ini.

Penahanannya untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Semalam, dia berusia 30 tahun dikatakan menampar isterinya berusia 24 tahun yang sedang meriba anak ketika mereka dalam perjalanan dari rumah mentua di Batu Rakit, Kuala Nerus ke Pejabat Agama Kuala Terengganu.

Sumber berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari dan lelaki terbabit dipercayai turut mengugut ibu mentuanya dengan mengacukan pisau selepas wanita itu menegur perbuatannya.

“Mereka sebelum itu dikatakan bergaduh dan suspek menampar hingga bibir mangsa pecah serta berdarah. Ibu mentua suspek yang melihat kecederaan anaknya, menegur suspek sebelum dia memberitahu mahu mengajar isterinya yang dikatakan kurang ajar.

“Ibu mentua suspek tidak berpuas hati dan memberi amaran kepada suspek supaya tidak memukul anaknya, namun suspek bengang dan mengambil pisau sebelum acukan ke arah wanita itu,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, isteri suspek yang terkejut dengan tindakan suaminya meluru ke arah ibunya kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, suspek ditahan di rumah mentuanya kira-kira jam 1 pagi hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 5:33 PM