GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat

SEMUA sekolah di negeri Melaka diminta menghentikan aktiviti luar bilik darjah terutamanya membabitkan murid berisiko tinggi, jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 (tidak sihat).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, arahan itu dikeluarkan berdasarkan pengumuman terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung tahap jerebu yang dilihat semakin teruk, kebelakangan ini.

Katanya, bagi kawasan mencecah IPU antara 101-200, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan di luar bilik darjah namun akan menggesa pihak berkenaan menutup operasi institusi pendidikan itu, tadika dan taska serta-merta jika bacaan mencecah melebihi 200.

“Pihak sekolah diingatkan mengambil langkah berikut, jika fenomena jerebu melanda kawasan atau daerah terbabit.

“Semua agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JAS sudah bersiap siaga bagi memastikan keadaan (jerebu) lebih baik,” katanya, mengulas tahap jerebu di Melaka, ketika ini.

Terdahulu, Tey (DAP-Banda Hilir) ditemui pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Semakan laman web IPU, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 103 di Alor Gajah dan 112 di Bukit Rambai, manakala di Pahang, 192 di Rompin dan 157 di Balok Baru, Kuantan, setakat 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengerusi Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong turut mengagihkan 300 topeng muka N95 kepada pengamal media menerusi Kelab Media MASSA Melaka (KEMM) sepanjang berlangsung persidangan selama lima hari.

Beliau turut mengingatkan orang awam di negeri itu supaya mengambil langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan ketika menghadapi musim kemarau ketika ini.

“Banyakkan minum air, kurangkan aktiviti luar dan elakkan pembakaran terbuka kerana tahap pencemaran udara di Melaka semakin teruk, ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 2:21 PM