RAHIMI, selepas keluar dari bilik pengimbas CT (CT SCAN) dan kini sudah menunjukkan maklum balas dengan menggerakkan jarinya di Hospital Christchurch, New Zealand. FOTO IHSAN Azrul Mahathir Aziz
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


MANGSA tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad, 39, sudah menunjukkan maklum balas dengan menggerakkan jarinya.

Perkembangan itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz ketika melawat Rahimi di Hospital Christchurch, hari ini.

Azrul Mahathir berkata, keadaannya stabil dan positif selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan dua peluru.

“Rahimi sudah menunjukkan perkembangan positif dan dijangka menjalani satu lagi pembedahan petang ini bagi membuang serpihan peluru,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Azrul dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mewakili kerajaan negeri bagi menemani ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65 dan abang, Rosdi Ahmad, 42, ke Christchurch bagi melihat perkembangan mangsa tembakan itu.

Sehingga kini tiga rakyat Malaysia, Rahimi, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Christchurch manakala anak sulung Mohd Tarmizi iaitu Haziq, masih belum ditemui.

Anak sulung Rahimi, Ahmad Razif, 11, yang dilaporkan trauma selepas kejadian kini semakin baik.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:39 AM