Foto Hiasan
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


HANYA bayar RM2,200 untuk mengerjakan umrah manakala selebihnya ditaja seorang individu kononnya bergelar ‘Datuk’.

Itu taktik digunakan sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah mengakibatkan 19 individu di Temerloh kerugian keseluruhan sebanyak RM41,800.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, semua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam yang mendakwa diperdaya syarikat berkenaan.

“Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa berusia 62 tahun, dia mendakwa ditawarkan menunaikan umrah oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada syarikat berkenaan pada November tahun lalu.

“Mangsa mendakwa sebahagian dari perbelanjaan umrah itu ditanggung oleh penaja yang berpangkat ‘Datuk’ berjumlah RM5,000 dan peserta hanya akan bayar RM2,200 seorang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya memindahkan wang bayaran umrah berjumlah RM2,200 ke dalam akuan sebuah syarikat yang diberikan oleh suspek pada 27 November lalu.

“Seorang ejen syarikat berkenaan bernama ‘Puan Aisyah’ kemudian memaklumkan mangsa akan berlepas menunaikan umrah pada 1 Disember lalu, namun pada tarikh yang diberikan, penerbangan batalkan dan digantikan dengan tarikh baru iaitu pada 20 Disember.

“Namun pada 19 Disember, ‘Puan Aisyah’ memberitahu peserta yang ingin menarik diri daripada menunaikan umrah boleh berbuat sedemikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu ingin menarik diri tetapi sehingga kini dia masih belum menerima pembayaran daripada syarikat berkenaan.

“Mangsa juga mendapat maklumat dalam kumpulan WhatsApp yang menyatakan wang berkenaan akan dipulangkan pada 14 Mac lalu tetapi sehingga hari ini wang berkenaan masih belum diterima.

“Mangsa membuat laporan polis, semalam dan kes siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:18 AM