TITAH Sultan Johor yang disiarkan di Royal Press Office (RPO). FOTO ihsan RPO
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengambil keputusan membatalkan penganjuran dua acara sempena sambutan Hari Keputeraan baginda.

Dua acara itu ialah Majlis Jamuan Teh serta Majlis Jamuan Negeri yang dijadualkan pada 24 dan 25 Mac ini.

Sultan Johor bertitah, keputusan itu dibuat demi rakyat kerana sedih melihat ada di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran kimia di Pasir Gudang.

“Ramai yang terjejas kerana pencemaran bahan kimia akibat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sekolah masih ditutup.

“Saya membatalkan dua acara ini kerana tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan menderita,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, dengan pembatalan acara itu, ia membolehkan petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan memberi tumpuan pada kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam, pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka.

“Saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 11:15 AM