Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa mahu melengahkan perbicaraan kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan berhubung SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, pada setiap peringkat.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata demikian dalam hujah yang dikemukakan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya dalam empat permohonan rayuan interlokutori dikemukakan oleh Najib membabitkan tujuh tuduhan dihadapinya berhubung dana SRC International.

“Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju bahawa kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan tiada perbalahan berhubung perkara ini.

“Bagaimanapun, Najib membangkitkan pelbagai isu untuk melengahkan perbicaraan kes ini pada setiap peringkat.

“Cabaran mereka terhadap kuasa pendakwa raya dalam rayuan ini tidak berasas dan kami memohon supaya rayuan ini ditolak,” katanya.

Berhubung kuasa Hakim Mahkamah Tinggi untuk memindahkan kes, Tommy berhujah bahawa Seksyen 417(2) Kanun Acara Jenayah (KAJ) memberi peruntukkan kepada hakim untuk berbuat demikian.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (yang mendengar kes Najib membabitkan SRC) mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan kes itu kepada dirinya sendiri.

“Ini adalah kerana beliau ada mendengar permohonan awal dan pengurusan kes serta tarikh perbicaraan juga ditetapkan dihadapnya.

“Oleh demikian, prosiding pemindahan kes itu tidak melanggar perundangan,” katanya.


Najib hadir pada pendengaran rayuan interlokutori di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Najib hadir diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International dihadapinya.

Najib juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan beberapa dokumen mengenai kes itu, rayuan terhadap pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh pendakwaan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof, bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan menetapkan pada Khamis ini bagi keputusan rayuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:58 PM