Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


EMPAT premis pusat urutan yang menawarkan perkhidmatan seks buat pelanggan didapati ‘kosong’ tanpa pekerja dan pemilik ketika serbuan dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Rimbunan Raya, Kepong, Kuala Lumpur tadi.

Serbuan menerusi Ops Banteras Aktiviti Haram (Bah) Siri ke-10 itu seolah-olah dapat dihidu oleh sindiket berkenaan sebelum mereka bertindak melarikan diri.

Malah ketika pemeriksaan dilakukan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen itu, pegawai penguatkuasa hanya menemui kondom dan krim pelincir di atas meja premis.

Ketua Operasi Ops Bah 2.0, Osman Ismail berkata, operasi yang bermula pada jam 3.30 petang itu disertai Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Operasi Ops Bah 2.0 disertai Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS),Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ketika tiba di lokasi serbuan, pekerja premis berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan pintu belakang.

“Berdasarkan risikan dijalankan, memang terdapat aktiviti perkhidmatan seks di premis diserbu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu.

Osman berkata, pihaknya percaya kegiatan tidak bermoral itu dapat dihidu sindiket berkenaan.

“Bagaimanapun DBKL mengambil tindakan dengan meroboh bilik yang disediakan di premis berkenaan. Selain notis sita turut ditampal di premis itu,” katanya.

Menurutnya, Ops Bah akan tetap diteruskan dengan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:59 PM