ANAK Mohd Tarmizi Shuib, Mohd Haziq Mohd Tarmizi (kiri). FOTO NSTP
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“KAMI sekeluarga terus berdoa supaya Haziq dipertemukan segera kerana tragedi itu sudah masuk empat hari tetapi keadaannya masih tidak diketahui sampai sekarang,” kata Zarina Shuib, ibu saudara seorang daripada mangsa serangan pengganas di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Zarina, 53, juga kakak kepada, Mohd Tarmizi Shuib, 42, mangsa yang cedera terkena tembakan pengganas di masjid terbabit.

Dalam kejadian itu, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang mengikut bapanya menunaikan solat Jumaat pada hari kejadian masih belum ditemui sehingga kini.

Menurut Zarina, dia dimaklumkan, isteri Mohd Tarmizi ada membuat pengecaman mayat yang baru ditemui tetapi setakat ini tiada perkembangan mengenai penemuan Mohd Haziq.

“Hari ini saya belum terima apa-apa WhatsApp daripada adik ipar yang juga ibu Haziq dari sana mengenai keadaan mereka di sana.

“Namun kami akan terus menunggu khabar selanjutnya dari mereka dan berharap semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Zarina berkata, keluarganya di sini tidak pernah berhenti berdoa dan membaca Yassin selain melakukan solat hajat supaya Mohd Haziq segera ditemui selain keadaan kesihatan Mohd Tarmizi kembali pulih.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 50 jemaah yang sedang menunaikan solat di dua masjid di Christchurch, New Zealand maut selepas ditembak secara rambang oleh pengganas.

Dalam kejadian itu, tiga rakyat Malaysia antara mangsa yang cedera terkena tembakan berkenaan dan masing-masing sedang dirawat di hospital di sana.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:11 PM