Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


MARAH anjing peliharaannya dihalau, wanita warga emas bertindak menyerang jirannya dengan penyodok longkang dan memecahkan tingkap pacuan empat roda selain turut memukul jirannya dalam kejadian di Kampung Muhibbah, Sungai Siput semalam.

Kejadian 10.30 pagi itu menyebabkan jiran lelaki berusia 40 tahun itu lebam lengan kanan dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput serta membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian membabitkan seorang lelaki dan wanita warga emas berusia 72 tahun.

“Lelaki terbabit pulang ke rumah dan melihat dua anjing milik jirannya (suspek) berada di hadapan pagar rumahnya sebelum bertindak menghalau anjing berkenaan.

“Perbuatan itu menyebabkan suspek yang melihat tindakan lelaki terbabit marah dan berlaku pertengkaran mulut sehingga suspek bertindak menyerang jirannya itu dengan menggunakan penyodok longkang.

Tingkap pacuan empat roda yang dipecahkan wanita warga emas dengan penyodok longkang. FOTO Ihsan Pembaca

“Lelaki itu cuba melarikan diri dengan menaiki Toyota Hilux miliknya, tetapi suspek bertindak memecahkan tingkap bahagian penumpang hadapan kenderaan mangsa,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tempat kejadian adalah rumah teres satu tingkat dan mangsa pulang ke rumahnya untuk memberi makan kepada ikan yang dibela dalam rumah itu.

Katanya, mangsa hanya datang ke rumah itu sekali-sekala saja kerana menetap di rumah lain di kawasan berhampiran.

“Dalam kejadian ini mangsa sempat merakam tindakan suspek yang menyerang dan memukulnya.

“Wanita warga emas itu kemudian ditangkap 3 petang hari sama dan barang kes iaitu satu besi penyodok longkang juga dirampas,” katanya.

Rozeni berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakamkan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:51 PM