DARI kiri, Ibu kepada Rahimi Ahmad, Rokiah Mohammad, 65, isterinya Nor Azila Abd Wahid, anak perempuannya Nurfaiqah, Abangnya Roshidi Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir di Christchurch, New Zealand. FOTO Ihsan Azrul Mahathir Aziz
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


KANAK-KANAK yang terselamat ketika kejadian tembakan di Christchurch, New Zealand, kini sudah bersekolah.

Ahmad Razif Rahimi, 11, sebelum ini dilaporkan trauma berikutan melihat sendiri kejadian tembakan pengganas di Masjid Al-Noor, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, bapa Ahmad Razif, Rahimi Ahmad, 39, turut cedera selepas terkena peluru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata, keadaan anak sulung Rahimi, 39, itu juga semakin baik.

“Saya bertemu dengan isteri Rahimi, hari ini dan dia memaklumkan bahawa keadaan Ahmad Razif semakin baik dan sudah ke sekolah,” katanya menerusi kiriman WhatsApp, hari ini.

Ketika kejadian tembakan pengganas yang mengorbankan 50 orang itu, Ahmad Razif diselamatkan orang awam di situ manakala bapanya, Rahimi pula cedera terkena tembakan dan sedang dirawat di Hospital Christchurch.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata, Rahimi sudah selamat menjalani pembedahan bagi membuang serpihan peluru di bahagian tulang belakang.

Katanya, keadaan Rahimi dilaporkan stabil dan dia dijangka menjalani satu lagi pembedahan pada Rabu ini.

“Rahimi baru selesai menjalani pembedahan yang dijalankan kira-kira 8 pagi tadi (waktu tempatan) bagi membuang serpihan peluru yang mengenai tulang belakangnya,” katanya.

Phee dan Azrul mewakili kerajaan negeri menemani ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 54, dan abang, Rosdi, 42, ke New Zealand bagi melihat sendiri perkembangan Rahimi yang berasal dari Kampung Binjai, Bayan Lepas.

Rahimi tinggal di Christchurch lebih empat tahun lalu dan bekerja sebagai jurutera di kilang susu di New Zealand, manakala isterinya pula menuntut di University of Canterbury dalam bidang perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:36 PM