Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


LELAKI bertindak kasar dengan cuba menendang jurugambar media yang membuat liputan perintah reman Ketua Penolong Pengarah jabatan kerajaan di Kedah serta tiga kontraktor yang disyaki membuat tuntutan palsu RM1.2 juta di mahkamah di Alor Setar, hari ini.

Lelaki berusia 50an itu dipercayai bapa kepada suspek utama iaitu wanita berusia 41 tahun itu.

Pada mulanya, dia cuba mengiringi anaknya ketika dibawa keluar dari kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tiba-tiba cuba menendang jurugambar yang membuat liputan kes berkenaan.

Tindakannya itu nyaris terkena kamera jurugambar berkenaan dan perbuatannya itu bagaimanapun ditegur oleh pegawai SPRM.

Menyedari kesalahannnya itu, dia segera memohon maaf kepada jurugambar berkenaan serta beberapa jurugambar lain yang turut membuat liputan kes berkenaan.

LELAKI cuba menendang jurugambar yang membuat liputan perintah remandi Mahkamah Alor Setar. -FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam perkembangan yang sama pula, keempat suspek berkenaan direman selama empat hari sehingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Rashidah Azmi selepas membenarkan permohonan SPRM negeri Kedah.

Terdahulu, suspek wanita yang bertugas di Unit Penyalarasan Perlaksanaan (ICU) di Putrajaya dibawa ke lokap Mahkamah Alor Setar pada 10.20 pagi manakala tiga lelaki berusia 34 hingga 43 tahun pula tiba sejam sebelum itu sambil diiringi oleh anggota SPRM negeri Kedah.

Suspek ditahan 5.30 petang semalam kerana disyaki membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pelancongan berjumlah RM1.2 juta di Pulau Langkawi.

Sumber berkata, tuntutan itu dibuat membabitkan program pelancongan di Pulau Langkawi dimana bayaran untuk kerja berkenaan dibuat antara 2014 hingga 2016 walaupun kerja berkenaan tidak dilaksanakan ketika suspek utama itu bertugas di unit yang sama di Kedah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap mengesahkan perkembangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:18 PM