PASIR GUDANG 13 MAC 2019. Penduduk di sekitar Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening dan loya di bilik gerakan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. NSTP/MOHD SABRAN MD SANI
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


HANYA 120 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang masih menerima rawatan di hospital sehingga 6 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, lima masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai adalah seramai 30 orang.

“Seramai 120 orang lagi masih menerima rawatan di wad hospital, berbanding 143 orang pada sebelah pagi tadi (semalam).

“Lima pesakit masih mendapatkan rawatan di ICU dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia yang melakukan pemantauan secara menyeluruh bermula semalam akan mengemukakan hasil pemantauan itu hari ini.

“Pengesan gas akan digunakan oleh pasukan pemantau bagi mengesan serta memantau kualiti udara bagi memastikan udara di kawasan yang terbabit dengan insiden pencemaran ini benar-benar dalam keadaan selamat.

“Lima parameter gas yang akan diperiksa adalah oksigen, karbon monoksida, Low Exposure Limit (LEL), Volatile Organic Compound (VOC) dan Hidrogen Sulfida (H2S).

“Jabatan Veterinar juga sudah mula melakukan kajian pencemaran terhadap haiwan ternakan di sekitar Sungai Kim Kim pagi tadi (semalam),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:52 AM