SULTAN Ibrahim Iskandar murka terhadap pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya Baginda terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran di Pasir Gudang. FOTO Royal Press Office
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka buat kali kedua apabila Baginda difitnah kononnya terbabit dalam perniagaan kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Sebelum ini, baginda murka apabila kejadian itu berlaku hingga menyebabkan 111 sekolah terpaksa ditutup dan lebih 4,000 penduduk terpaksa mendapatkan rawatan awal.

Dalam catatan terbaru di Facebook rasminya bertajuk 'Sultan Ibrahim Murka Ada Pihak Sebar Fitnah Isu Pencemaran Sisa Kimia,' baginda mengingatkan pihak tertentu supaya jangan cuba mengalih perhatian rakyat atas kelemahan pihak yang sepatutnya menjalankan tugas, sebaliknya memberi tumpuan kepada cara menyelesaikan isu ini secara tuntas.

"Sudah sampai kepada pengetahuan saya bahawa ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah bahawa saya terbabit dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu ini. Sila bawa bukti yang sahih jika benar saya terbabit dalam perniagaan kilang itu kerana saya tidak pernah gentar dan tunduk pada fitnah yang memburukkan Institusi Diraja Johor," titahnya.

Beberapa hari lalu, baginda bertitah mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu dan pada masa sama melahirkan penghargaan ke atas pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mangsa yang dimasukkan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah, ada yang bertarung nyawa dalam ICU (Unit Rawatan Rapi)!

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa segera menangkap dan menghukum pelakunya.

“Saya berasa amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa yang hanya melakukan tugas seperti pemandu ambulans dan pekerja kantin sekolah,” titahnya.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di sekitar kawasan kejadian supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 2:59 PM