Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

DUA suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang milik tiga individu berjumlah RM35,000 ke dalam akaun sebuah bank, pada 2017.

Kedua-dua tertuduh, Norshilakhartiney Mernie, 32, yang berdepan lima pertuduhan dan Siti Noraini Zakaria, 35, dua pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Mengikut kertas pertuduhan, Noorshilakhartiney didakwa atas lima pertuduhan menyembunyikan wang milik Che Norhazwani Mohd Rozi, 29, dan Sazale Bakar, 35, bernilai keseluruhan RM27,000.

Tertuduh didakwa menyembunyikan wang itu ke dalam akuan bank didaftarkan atas nama Khtijah Mual, 49.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di cawangan bank berkenaan di Taman Molek Johor Bahru, antara 8 Mei hingga 30 Mei 2017.

Siti Noraini pula didakwa secara tidak jujur menolong menyembunyikan wang berjumlah RM8,000 milik Rosida Salleh, 33, ke dalam akaun didaftarkan atas namanya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah cawangan bank di JB City Square, Jalan Wong Ah Fook pada 10 dan 11 Mac 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di hadapan Hakim Jailani Rahman dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan.

Siti Noraini diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir, manakala Norshilakhartiney tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 April ini.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Siti Noraini dan RM20,000 bagi Norshilakhartiney.

Bagaimanapun Mohamad Isa yang mewakili Siti Noraini merayu supaya anak guamnya dibenarkan jaminan rendah dengan mengambil kira tertuduh tidak bekerja.

“Anak guam saya mempunyai suami yang bekerja sebagai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mempunyai tiga anak berusia sembilan, tujuh dan empat tahun.

Malah katanya, tertuduh memberikan kerjasama sepanjang kes itu dan perlu diberikan jaminan rendah.

Norshilakhartiney yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah mengambil kira suami yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan PBT.

Mahkamah membenarkan Norshilakhartiney diikat jamin dengan RM20,000, manakala Siti Noraini RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 12:02 PM
DUA suri rumah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyembunyikan wang milik tiga individu. FOTO Zain Ahmed