FOTO Hiasan
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


PENERBANGAN terus Ipoh-Guangzhou dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang disasarkan bermula pada suku pertama tahun ini terpaksa ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, penangguhan itu dilakukan berikutan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Pihak saya dan pihak berkaitan masih bertungkus-lumus untuk mengatasi masalah teknikal dan kita berharap dapat menentukan tarikh untuk pelaksanaan.

“Kita terpaksa menangguh sedikit masa saja lagi, ia menjadi hasrat dan kita akan memastikan ia akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran MATTA Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, hari ini.


TAN (dua kiri) merasmikan perkhidmatan Bas 'Hop On Hop Off' Perak di Pusat Konvensyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof

Tan berkata, masalah teknikal berkenaan diyakini dapat diselesaikan dan penerbangan masih disasarkan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Media sebelum ini memetik kenyataan Tan memaklumkan penerbangan terus dari Ipoh ke Guangzhou bakal dilancarkan bulan ini.

Tan juga berkata, pihaknya pada masa sama turut berusaha bagi menjayakan destinasi penerbangan lain membabitkan bandar utama di negara rantau ini ke Ipoh.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah penumpang di LTSAS meningkat kepada kira-kira 315,000 orang pada 2017 berbanding 274,000 orang yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Pada majlis itu, Tan turut melancarkan perkhidmatan bas ‘Perak Hop On Hop Off’ atau ‘Bas HoHo’.

Tan yakin perkhidmatan Bas Hoho itu bersama pemandu pelancong yang akan menerangkan tempat menarik di bandar raya ini mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:48 PM