Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


“SAYA runsing anak angkat saya tidak dapat menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan menjejaskan masa depannya kerana tiada MyKad,” kata Asmah Othman, 65.

Wanita warga emas itu berkata, dia berdepan masalah membuat MyKad untuk anak angkatnya Muhammad Fittri Benyamin Ismail, 15, sejak tiga tahun lalu kerana tidak dapat mengesan ibu bapa kandung remaja itu.

Menurutnya, dia mengambil Muhammad Fittri daripada ibunya Nor Azura Sharimi, 34, dan bapanya Benyamin Ismail Mohamed, 39, ketika berusia lapan bulan.

Bagaimanapun katanya, mereka terputus hubungan dan apabila Muhammad Fittri berusia 12 tahun dan perlu membuat MyKad, mereka berusaha mengesan keluarga terbabit di alamat terakhir di Balik Pulau, Pulau Pinang tetapi gagal.

“Kali terakhir kami berjumpa Nor Azura ketika Muhammad Fittri berusia tiga tahun apabila wanita itu datang melawat kami yang ketika itu menetap di Kulim, Kedah.

“Selepas itu, kami terputus hubungan. Kami dapat tahu mereka berpindah ke Tanjong Tokong dan kampung halaman di Perak tetapi usaha kami mencari mereka di sana gagal,” katanya ketika ditemui di Seremban, hari ini.

Asmah berkata, walaupun memiliki salinan asal sijil kelahiran Muhammad Fittri selepas diserahkan ibu bapanya, tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih memerlukan pengesahan daripada keluarga kandung.

Katanya, dia berharap dapat menemui ibu bapa kandung Muhammad Fittri bagi memudahkan urusan membuat MyKad seterusnya membolehkan anak angkatnya itu menduduki PT3.

Asmah berharap orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kandung Muhammad Fittri supaya menghubunginya di talian 017-6077237.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:49 PM