Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KEHADIRAN gas hidrogen sianida dicatatkan paling tinggi di Taman Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang, dengan bacaan direkodkan 4.5 ppm pada 13 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, ia bagaimanapun dikesan dalam tempoh dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.

“Ada beberapa tempat dibuat pengungsian kerana merekodkan bacaan kualiti udara tercemar yang tinggi, namun ia tidak merebak ke kawasan lain.

“Paling tinggi bacaan gas hidrogen sianida berada di Taman Tanjung Puteri Resort dengan merekodkan 4.5 ppm, tetapi berada dalam tempoh dua jam sebelum menurun,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Katanya, anggotanya yang melakukan pencerapan udara mengesan kehadiran 15 jenis gas di kawasan terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim, namun ia tidak membahayakan.

PEKERJA syarikat pembersihan melakukan kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin

“Hanya kawasan seluas 1.5 kilometer radius dari lokasi pembersihan diletakkan sebagai zon merah, namun kawasan itu berada di bawah paras berjaga-jaga iaitu 3 ppm.

“Selain itu, keadaan udara ketika ini normal dan di bawah paras berjaga-jaga,” katanya yang memberikan taklimat pertama sejak kejadian 7 Mac lalu.

Menurutnya, kehadiran gas kimia di udara biasanya mudah dikenalpasti pada waktu malam sekali gus mudah mengetahui dari mana punca pencemaran berkenaan.

Katanya, gas kimia juga mudah merebak dengan lebih luas pada musim hujan menyebabkan usaha membersihkan lokasi perlu disegerakan.

“Kalau ikut keadaan cuaca panas, penularan gas bersifat sama rata, berbanding jika hujan gas kimia akan bergerak secara berkumpulan dan lebih membahayakan.

“Sebab itu perlu disegerakan kerja pembersihan supaya tidak dilaksanakan pada musim hujan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:44 PM