Mahfuz (kanan) berbual Mariani (dua dari kiri) ketika melawat keluarga terbabit. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“SAYA dan sepupu akan ke sana (New Zealand) secepat mungkin, jika segala tiket perjalanan dan urusan diselesaikan segera. Saya mahu melihat sendiri keadaan Tarmizi di sana,” kata Mariani Shuib, 49.

Mariani adalah kakak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, salah seorang rakyat Malaysia yang cedera akibat terkena tembakan rambang pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, semalam.

Menurutnya, setakat ini dia hanya berhubung dengan adik iparnya yang juga isteri Mohd Tarmizi menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui perkembangan terkini mangsa.

Katanya, dia dimaklumkan adiknya sudah selamat menjalani pembedahan membuang peluru di bahagian belakang badannya tetapi tidak pasti waktu pembedahan itu dilakukan.

“Mungkin dah buat (pembedahan) itu lebih awal kerana masa kat sana awal berbanding di sini.

“Saya tak nak tanya banyak-banyak pada adik ipar sebab bimbang mengganggu keadaannya kerana dia masih bersedih dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Hutan Kampung, di Alor Setar hari ini.

Mariani berkata, dia dimaklumkan adiknya sudah sedar dan sudah boleh bercakap sejak pagi tadi.

Menurutnya, dia dijangka berlepas ke New Zealand dengan ditemani sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, 30-an dan segala proses termasuk pasport dan tiket penerbangan sedang diusahakan.

Katanya, hubungan dia dan adiknya, Mohd Tarmizi sangat rapat dan berharap keadaannya kembali pulih walaupun setakat ini dimaklumkan dia stabil.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya November lalu ketika dia pulang bercuti ke negara ini tetapi dia pulang ke sini seorang diri, walaupun sekejap.

“Apabila dia pulang ke sana, kami hanya berbual menerusi Facebook dan WhatsApp sebelum kejadian yang menimpa ini berlaku,” kata guru Sekolah Menengah Seberang Jaya, Pulau Pinang ini.

Bagaimanapun, Mariani gagal menahan sebak apabila ditanya lebih lanjut mengenai keadaan adiknya kerana mereka sekeluarga berharap semuanya kembali normal.

Cuma katanya, anak kedua Mohd Tarmizi, Haziq, 17 tahun masih belum ditemui sehingga kini, manakala adiknya, Haris, 13, berjaya menyelamatkan diri ketika berada di kawasan masjid berkenaan ketika kejadian.

Mariani berkata, dia juga turut menghubungi pihak Kedutaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut keadaan di sana.

Sementara itu, kakaknya, Zarina Shuib, 53, berkata, dia tidak dapat menemani adiknya ke negara itu disebabkan mengalami masalah kesihatan dan berharap perjalanan mereka selamat.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan berita mengenai kematian adiknya ditular di laman sosial sejak semalam.

“Kami sekeluarga sedang bersedih dengan apa yang berlaku dan jangan lagi mengeruhkan keadaan kerana adik kami masih hidup dan sedang menjalani rawatan di sana.

“Saya harapkan pihak berkenaan berhenti tular berita mengenai kematian adik dan mendoakan yang terbaik untuknya selain berharap anak keduanya ditemui selamat,” katanya.

Zarina berkata, sejak kejadian itu mereka sekeluarga tidak dapat tidur lena menenangkan nasib yang menimpa Mohd Tarmizi dan sentiasa menunggu berita selanjutnya dari masa ke semasa.

Dalam kejadian itu, Mohd Tarmizi dilaporkan cedera di bahagian belakang badannya, manakala salah seorang daripada anaknya itu dilaporkan masih hilang.

Sementara itu, Kerajaan negeri dan Parlimen Pokok Sena bersetuju untuk menaja dua tiket penerbangan untuk ahli keluarga Mohd Tarmizi Shuib ke New Zealand bagi memudahkan mereka melihat keadaan mangsa di sana.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd Tarmizi dan beliau sudah bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Saya sudah menghubungi Wisma Putra semalam dan mereka bersetuju untuk menguruskan penginapan untuk dua ahli keluarga Mohd Tarmizi dalam tempoh seminggu di sana.

"Namun saya fikir mengenai penginapan mungkin tak jadi masalah kerana rumah Mohd Tarmizi ada di sana namun kita sudah berbincang dengan Wisma Putra," katanya ketika ditemui sewaktu menziarahi keluarga itu, di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, hari ini.

Berita berkaitan

Suami dah separuh sedar'

Budak 3 tahun korban paling muda

Manifesto gila angkara masjid berdarah

Manifesto gila angkara masjid berdarah

Suspek pengganas di dakwa

Pengganas berfahaman Neo-Facism

Belum sampai ajal, remaja Malaysia lari 1.5km

Semua penuntut Malaysia selamat di Christchurch

Ibu Rahimi ke New Zealand esok

'Pasukan perisik Malaysia mantap - PM'

'Terkejut anak cedera'

'Suami saya cedera teruk'

Tembakan selepas azan pertama

"Meremang bulu roma saya"

[UPDATE] 49 sudah terbunuh

'Jangan kongsi video tembak'

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 1:12 PM