ANTARA telur penyu yang dirampas. FOTO Ihsan PPM
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,000 biji telur penyu menerusi perairan dekat Batu 2.5 di Sandakan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota PPM yang membuat intipan dan pemantauan di kawasan itu mengesan beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di tempat pemunggahan hasil laut yang tidak diwartakan.

Bagaimanapun, suspek melarikan diri ke kawasan hutan bakau sebaik menyedari kehadiran polis dan gagal dikesan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 2,000 biji telur penyu disembunyikan di dalam kotak polisterin dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai telur penyu dianggarkan berjumlah RM4,000.

“Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 10:50 AM