ORANG ramai melihat mayat Ramlah Abdul yang maut selepas dilanggar motosikal di Kilometer 70.1 Jalan Alor Setar-Butterworth. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


PEJALAN kaki maut selepas dilanggar motosikal di Kilometer 70.1 Jalan Alor Setar-Butterworth di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ramlah Abdul, 73, beralamat di Kampung Bukit Lalang, Tikam Batu, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang datang dari arah Butterworth menghala ke Tikam Batu melanggar mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba.

"Mangsa dikatakan melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal terbabit tidak sempat menekan brek lalu melanggar mangsa.

"Kesan daripada kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:44 AM