Keadaan sekitar Sungai Kim Kim di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang yang tercemar dengan sisa kimia. FOTO Adi Safri
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEPANJANG 680 meter Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang yang tercemar akibat buangan sisa kimia sudah dibersihkan.

Lokasi itu adalah kawasan yang paling tercemar susulan pembuangan sisa bahan kimia di sungai itu pada 7 Mac lalu.

Sebanyak 250 jumbo beg berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan dalam operasi yang bermula sejak kelmarin dan akan dilupuskan ke kilang yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, seramai 90 petugas membabitkan kontraktor dilantik JAS dan agensi terbabit dalam kerja pembersihan 24 jam sehari itu.

“Kontraktor akan terus bekerja dan kita ada 90 pekerja di sana yang bekerja 24 jam untuk membersihkan kira-kira 1.5 kilometer kawasan sungai terjejas.

“Jadi, kita ada 900 meter lagi untuk dibersihkan tetapi yang lain itu kerana ia mengalir, ia tidak seteruk kawasan tercemar yang sudah dibersihkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung.

Yeo berkata, JAS akan sentiasa memantau gas yang terhasil ketika proses pembersihan dijalankan supaya keadaan sentiasa selamat kepada petugas membersihkan sungai.

“Perkembangannya baik tetapi kita sentiasa memantau gas yang keluar ketika membuat pembersihan supaya tidak keluar dan selamat.

“Mohon semua tidak masuk ke tempat pembersihan dan yang jauh tidak perlu risau kerana pegawai JAS dan kontraktor ada pengesan gas mudah alih untuk memastikan kerja terkawal,” katanya.

Menurut Yeo, melihat keadaan mangsa terjejas yang dirujuk ke hospital semakin menurun sejak gelombang kedua sehingga hari ini, beliau mahu melihat impak kerja pembersihan itu esok.

“Kita perlu pastikan aktiviti pembersihan kita buat ini, apa impak kepada masyarakat. Mangsa masuk hospital menurun, harap esok lebih baik, kita lihat impaknya.

“Sekarang, kita perlu pantau kualiti air selamat atau tidak. Sungai Kim Kim ini sebenarnya sudah sangat tercemar sebelum pembuangan sisa bahan kimia ini lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:56 PM